Wednesday 20 March 2013

My PD


Port Dickson dari pandanganku



Telah tiga tahun aku bermastautin di Port Dickson iaitu sejak 1 Ogos 2008. Sebelum menjejakkan kaki di PD ini, di dalam bayanganku hanya laut dan pantai yang indah. 



Apabila menjejakkan kaki di PD ini, pandanganku semakin luas. PD memang cantik sebagai pantai peranginan negara. Hotel dan resort begitu banyak di sini. Hotel-hotel murah juga berlambak. Tepuk dada dan tanya poket kerana perbelanjaan di sini pastinya mengikut kemampuan poket masing-masing.




suasana senja sekitar PD

PD memiliki tempat-tempat menarik seperti Ostrich Farm, Mini Zoo, Kota Lukut, Muzium Tentera Darat dan pelbagai lagi. PD menjadi tumpuan orang-orang Kuala Lumpur dan Singapura di hujung minggu. 



Port Dickson pada asalnya adalah sebuah pelabuhan menguruskan eksport impot minyak, arang dan bijih timah. Bandar ini mengambil nama Sir John Frederick Dickson, seorang pegawai British. Sebelum dikenali sebagai Port Dickson, bandar ini juga dikenali sebagai Tanjung, Tanjung Tin dan juga Arang.




Kilang Shell mulai berada di Port Dickson sejak tahun 1901. Kemudian ianya diikuti oleh Esso pada tahun 1960an. Pada tahun 1933, Port Dickson telah dipilih sebagai penempatan kem Angkatan Tentera Melayu dan Maktab Tentera Persekutuan  dan dinamakan Kem Si Rusa. 




Kini kem-kem tentera tak terbilang di PD. Pada tahun lalu, YAB Dato Seri Najib telah mengisytiharkan PD sebagai Bandar Tentera. Kami di AIMM hanya menumpang di tempat orang :)




Sayangnya, kemajuan PD tidak sekata. Begitu banyak bangunan yang tidak siap dan terbengkalai menjadi gajah putih di tengah-tengah keindahan. Jalanraya PD juga tidak sesuai bagi sebuah pusat peranginan. Jalan-jalan utama seperti di hadapan Taman Politeknik PD seharusnya diambil tindakan dibaikpulih segera. Kemalangan sering berlaku namun tindakan mengekang tidak diambil.




Jalan Telok Kemang seharusnya kini dilebarkan. Pelbagai temasya dan pesta seperti Le Tour de Langkawi dan Pesta Pantai tertumpu di kawasan ini tetapi lama kelamaan tempat ini akan menjadi usang jika pembangunan tidak dijalankan sewajarnya.



YB dan pegawai daerah di bandar PD ini seharusnya lebih kreatif di dalam memastikan bandar peranginan ini terus menarik minat pengunjung. Tidak seperti Penang yang terkenal dengan syurga makanannya, Langkawi dengan kedai duty free dan coklat malah negeri-seperti negeri Pantai Timur dengan keropok dan hasil laut, begitu juga Kota Kinabalu dengan mutiaranya, PD tiada tarikan tersendiri kecuali pantai yang kini dilanda pencemaran. Rakyat PD harus berusaha mencari satu inovasi yang boleh dijadikan cenderahati agar kehadiran pengunjung tidak berkurangan hari ke hari. Jarang kita temui pengunjung-pengunjung Mat Salleh di kawasan ini. Kita lihat pada pantai cherating dan tawau. Kita dapati jumlah pengunjung semakin ramai.





 Ambillah pengajaran dari Melaka yang kini gigih meningkatkan program pelancongan mereka. PD tidak kurang dari semua itu. Hanya kepentingan politik kadang-kadang menjadi punca kurangnya komitmen ke arah menaikkan taraf PD ini sebagai pusat pelancongan negara. Jika tindakan tidak diambil dengan segera, tidak mustahil bandar dan pantai PD akan tenggelam dan hanyut ditelan kepesatan tempat lain seperti Morib dan Bagan Lalang.



Meminjam kata celebriti orang nogori iaitu Nabil "LU PIKIR LA SENDIRI"

**Dipetik dari persadatinta

No comments:

Post a Comment